Dari kenyataan media Pak Long berasa la Penyakit Selesema Babi atau yang diistilahkan sebagai Influenza A (H1N1) nampaknya tiada tanda akan reda. Semakin hari semakin meningkat jumlah kematian, terbaru khabarnya jumlah kematian dah meningkat lebih 40 orang. Kalau penyakit demam denggi, biasanya akan ada susut dan naik jumlah yang terlibat tetapi dalam kes ni nampaknya makin bertambah.
Pak Long dengar Menteri Kesihatan semalam, Dato' Seri Liow Tiong Lai ada kata; tindakan tutup sekolah dan institusi pendidikan seperti universiti akibat penularan wabak ini hanya akan diambil sebagai langkah terakhir.
Kata dia lagi, "tindakan tutup sekolah atau universiti hanya akan dilakukan oleh pihak pentadbiran sekiranya kehadiran pelajar atau pengajar sangat rendah dan pembelajaran tidak dapat dibuat dengan baik.
"Pengetua sekolah bertanggungjawab untuk mencadangkan penutupan sekolah setelah mendapat nasihat daripada Pegawai Kesihatan Daerah dan dipersetujui oleh Pengarah Pendidikan Negeri," .
Ringkasnya, kerajaan ingin menunggu sehingga sekolah kosong baru hendak bertindak? Atau lebih mudah nak kata, kalau ramai tak pergi sekolah (mungkin sebab takut atau lebih buruk lagi ramai yang dah dijangkiti dan mati) baru nak ambil langkah tutup sekolah?
Maknanya rakyat menderita kena berhadapan dulu dengan serangan wabak ini , lepas tu baru la tindakan pencegahan dibuat? Nak ambil tindakan pula, perlu rujuk dahulu Pegawai Kesihatan Daerah dan selepas itu Pengarah Pendidikan Negeri pula perlu setuju barulah sekolah akan ditutup.
Pak Long agak la, berapa ramai jumlah kehadiran yang perlu kita tentukan untuk memastikan pihak sekolah boleh umumkan sekolah tu ditutup. Wallahu a'lam. Tapi nampaknya dengan penularan wabak ni, semua perkara boleh terjadi. Sekolah dan institusi awam pun boleh tutup. Apatah lagi orang ramai, pakat takut saja nak ke mana-mana pun. Hubungan sesama masyarakat jadi tergendala, nak bersembang pun takut-takut.
Demikianlah dahsyatnya bila wabak penyakit tu Allah sebarkan kepada sesuatu tempat. Maka, Pak Long harap sama-samalah kita perbanyakkan doa moga semua rakyat bandar dan desa kembali hidup aman dan bahagia. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan